Jumaat, 13 Disember 2013

antara kapal terbang dan hujan lebat.

Kapal terbang dan hujan lebat

Aku pasti Malaysia ini sudah makin maju. Atau mungkin saja tempat latihan dalam hutan ini yang semakin maju.

Walau dalam pekat kesunyian malam, hutan ini yang dihiburi dengan bunyi unggas dan cengkerik. Nun di atas sana selalu sahaja bingar dengan bunyi enjin pesawat Airbus dan juga pesawat komersial yang terbang sederhana tinggi tidak putus-putus.

Aku terbayang nyaman dan selesa sekali agaknya berada di atas sana. Kerusi empuk, skrin kecil di hadapan tempat duduk dengan variasi hiburan audio dan video, serta ditemani pramugara kacak dan pramugi cantik melayan penumpang, terutama pada waktu minum dan makan.

Aku? di bawah ini sedang berkawal dalam hujan lebat menumpang kasih sebatang dahan pokok tua yang batangnya besar sepemeluk. Lumpur-lumpur oren tanah hutan dara ini pula galak memaut kasut but hitam yang sudah penuh basah dengan air hujan - perkara paling tidak selesa bila kaki mengecut kebasahan. Sang nyamuk dan serangga-serangga kecil riang bermain di lapis kulit. Agaknya sudah lama tidak ada tetamu buat dijadikan teman sepermainan.

Hujan masih belum henti-henti lagi. Aku mendongak ke langit dan nampak titis-titis hujan mencurah dari celah-celah dahan pokok hutan. dan semua ini rezeki dari Tuhan yang rahman dan rahim. Sekali lagi melintas pesawat-pesawat terbang.

Aku berkata pada sahabat.

 "Alangkah indahnya kalau kita boleh naik flight tu. Bawak beg besar-besar, pakai baju tebal pergi melancong overesea, tak pun dalam negara pun jadi lah.

"Sabar sahabat. Satu hari nanti akan sampai jugak masa kita". Jawab Zuhdi selamba.

Dan aku pun tersenyum. . .

"Sumpah tentera

Sumpah yg dilafaz untuk berkhidmat kepada negara sebagai tentera
Tidak melibatkan kontrak  untuk kehidupan yang mewah
Mahupun jua keselesaan yang dinikmati sekalian rakyat

Tapi sebaliknya
Ia hadir dengan kepayahan, kesetiaan dan juga pengorbanan diri kepada tugas
Tak kira apa pangkat yang disandang."


Australian Army Oath, Burma Camp.