Ahad, 12 Februari 2012

UCAPAN PENGHARGAAN & PERPISAHAN WAKIL PEGAWAI MUDA SEMPENA MAJLIS MAKAN MALAM REGIMENTAL

Masih lagi kerja di belakang tabir. kali ini untuk Yang Di Pertua Wisma. ucapan sempena Majlis Makan Malam regimental. Katanya, Naib Canselor dan Dif jemputan kehormat memuji ucapan beliau ( yang terpaksa rela aku buatkan dan mengambil masa 3 jam untuk mencari ilham supaya disiapkan ).

Pujian hanya untuk dia, aku menunggu-nunggu untuk dia ucapkan walau sepatah terima kasih, dan akhirnya ada jua. Itu sahaja yang aku tunggu, bukan balasan lain dari tuan. Saya suka buat kerja sebegini, dan yang saya perlukan hanya sedikit kata penghargaan. Semoga tuan terus berjaya dalam kerjaya.


Yang Berbahagia,
Leftenan Jeneral Dato’ Wira Allatif Bin Mohd Noor,
Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia,
Yang Berbahagia,
Brig Jen Mustak Ahmad Bin Miandad Tudm,
Komandan Akademi Latihan Ketenteraan,
Yang Berbahagia,
Lt. Kol. Chan Weng Poh,
Pengarah Akademi Latihan Ketenteraan,
Pegawai-pegawai kanan universiti,
Dekan-dekan fakulti,
Pensyarah-pensyarah,
Jurulatih-jurulatih,
Serta warga dewan sekalian.
Assalamualaikum wbt, salam sejahtera buat anda semua.
Yang berbahagia dato’ dan hadirin sekalian,

Alhamdulillah,
Bersyukur kita kehadrat ilahi kerana dengan limpah kurnianya dapat kita sama-sama berkumpul dalam majlis Makan Malam Regimental Pegawai-pegawai Muda sempena Pentauliahan Diraja 2012, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pada malam yang penuh bermakna dan penuh erti ini. Selain untuk meraikan semua pegawai muda yang ditauliahkan baru-baru ini, dan juga penghargaan kepada pegawai dan jurulatih, saya kita majlis pada malam ini juga wajar saya sifatkan sebagai majlis perpisahan dalam sesetengah antara kita.

 Mungkin ada yang kurang setuju dengan kenyataan ini. Tapi percayalah, selepas ini sudah susah atau mungkin juga mustahil untuk kita berkumpul dalam suatu masa dan tempat sebagaimana kita berkumpul pada malam yang cukup bermakna ini. Selepas ini, selain dari kursus induksi mengikut unit dan perkhidmatan masing-masing, kita akan membawa haluan berbeza mengikut perkhidmatan kita. Tapi saya yakin dan percaya, perpisahan ini kelak akan kita kenang sampai bila-bila, dan ukhwah yang terjalin antara kita akan kekal selamanya. Bak kata pepatah inggeris, “Memories last forever, never do they die. Friends stay together, never say goodbye”

Hadirin sekalian,
Masa begitu pantas berlalu. Terasa seperti baru saja semalam kita melaporkan diri ke UPNM sebagai pegawai kadet dan menjalani latihan rutin, pengalaman pahit manis, jerih perih dan suka duka bersama. Pejam celik pejam celik, sudah hampir 5 atau mungkin 6 tahun kita bersama-sama dengan seribu satu kenangan di medan yang tercinta ini. Dari kita di tahun asas, sehinggalah di hari-hari terakhir di battalion Zulu, kenangan ini akan kekal terpahat di sanubari kita semua. Sepanjang kenangan di UPNM, saya pasti anda semua akan katakan bahawa kenangan ketika Latihan Ketenteraan Tahun Akhir ketika kita bersama-sama di battalion Zulu adalah kenangan yang paling indah.
( sy cadangkan Tuan selitkan sedikit imbas kembali aktiviti battalion zulu)

Yang Berbahagia Dato’ dan para hadirin sekalian,
Sudah menjadi norma setiap bangsa yang mulia untuk menghargai jasa pahlawannya walaupun tanpa dipinta. Etos kepahlawanan, etika keperwiraan dan nilai-nilai ketenteraan sudah wujud dari dahulu lagi. Sejak manusia tahu mempertahankan diri sendiri, keluarga, harta benda dan kampung halaman mereka. Etos kepahlawanan masih menegakkan sifat mulia di kalangan anggota tentera iaitu untuk menghargai segala jasa dan pengorbanan pemimpin mereka . Di kesempatan ini, saya mewakili kesemua pegawai muda yang baru ditauliahkan ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih dan ucapan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua jurulatih dan juga pegawai, dan tak lupa kepada seluruh warga UPNM yang berkorban masa dan tenaga dalam memastikan kami semua menjadi seorang pemimpin tentera yang dihormati dan disegani di mata semua.

Setelah hampir 6 tahun dididik, diasuh, dilatih, diarah dan diherdik oleh anda semua, harinya telah tiba untuk kami buktikan pada ibu pertiwi bahawa Tanah air ini punyai kami, wira-wira muda yang mereka boleh bergantung harap untuk kami pertahankan kedaulatan tanah tumpah darah kita ini, pemuda dan pemudi yang sanggup berkorban apa sahaja demi tanah yang tercinta ini. Laksana anak murid perguruan silat yang menuntut ilmu dengan Tok Gurunya, hari ini pendekar-pendekar ini telah matang untuk menempuh cabaran sebenar dalam dunia yang diberi nama dunia ketenteraan. Terima kasih yang berbahagia Dato’, tuan-tuan dan puan-tuan, staf, dan semua yang member tunjuk ajar selama ini. Ikrar kami untuk mengenang segala jasa baik dan budi kalian semua, dan mempraktikkan segala pengajaran dan teladan dengan sebaiknya. Di akhirnya, jasa baik kalian semua semoga dibalas dengan keberkatan hidup dan pahala ganjaran oleh-Nya.
Di kesempatan ini, saya menyusun sepuluh jari mewakili seluruh pegwai muda untuk memohon maaf kepada para pegawai dan jurulatih andai ada kekhilafan kami sepanjang di bawah bimbingan kalian semua. Halalkanlah segala ilmu dan tunjuk ajar yang dicurahkan selama ini.

Kepada rakan-rakan pegawai muda, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada kita semua. Semoga cabaran-cabaran yang mendatang akan kita hadapi dengan hati yang utuh dan juga semangat yang kental, takkan pernah luntur walau dicabar dengan halilintar dan juga gelora ganas samudera. Berpeganglah pada kata-kata, “ without the darkness, a star will not born. Never fear of our shadow, because shadows only means a light shining somewhere nearby.”
Dengan hati yang berat, perpisahan ini terpaksa kita relakan jua dan Insya-Allah, persahabatan kita semua tidak akan terhenti di sini dan akan terus berpanjangan, sampai bila-bila. 

Sekian, Wabillah hitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.