Isnin, 20 Februari 2012

MEDIA SOSIAL & KESELAMATAN NEGARA



Dewasa ini terdapat pelbagai perkhidmatan rangkaian komunikasi di internet seperti laman Facebook, Twitter, Youtube dan Blog. Keadaan ini membawa kepada kemudahan interaksi dan secara langsung atau tidak boleh membawa kepada kacapaian dan pengaliran maklumat yang sangat cepat. Apakah kesan laman sosial ini kepada keselamatan negara dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengawal situasi ini?
            Kebanjiran laman-laman interaksi sosial atau dikenali dengan istilah media sosial di internet telah memungkinkan komunikasi berjalan dengan begitu pantas sekali, hanya dengan satu klik segalanya boleh tersebar dalam masa sepantas satu saat. Kemunculan Internet sebagai medium komunikasi terkini menjanjikan satu wadah penyebaran maklumat yang meningkatkan dan mempercepat penyampaian ilmu dan maklumat.
            Oleh kerana tiada pihak khusus yang dapat mengawal perjalanan dan segala prosedur maklumat di dunia siber, berjuta-juta laman web telah diwujudkan dengan mengikut inisiatif sendiri. Bermacam-macam maklumat yang tidak dipastikan kesahihannya, idea, ideologi, propaganda dan tidak kurang juga pornografi disebarkan melalui Internet. Lebih menggerunkan, taktikal-taktikal peperangan dan juga maklumat sulit dah rahsia sesebuah Negara kini terancam dengan pembongkarannya oleh penggodam-penggodam di internet. 

            Kes terbaru melibatkan pembongkaran Wikileaks  mengenai rahsia-rahsia keselamatan sesebuah negara. Kerahsiaan menjadi agenda teratas bagi sistem pertahanan di mana-mana negara di dunia. Kehebatan strategi pertahanan bukan sahaja diukur oleh senjata berteknologi tinggi tetapi juga sistem yang melindungi sebarang rahsia mengenai pertahanan negara dibocorkan.  Bayangkan apabila Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) atau Pentagon dicerobohi dan banyak rahsia tentang strateginya dicuri. Bayangkan pula apabila Agensi Perisikan Pusat (CIA) misalnya berjaya menceroboh sistem pertahanan Iran memusuhi AS. Kedua-dua negara ini terdedah kepada serangan musuh yang sudah menggenggam rahsia pertahanannya.  Fail-fail rahsia mengenai keselamatan di sesebuah negara adalah nyawa. Sekiranya ini terjatuh ke tangan musuh, strategi dan kekuatan sudah bocor, benteng pertahanan dengan sendirinya runtuh.

            Itu dari segi pembongkaran yang kompleks. Tetapi hal ini perlu dilihat secara menyeluruh. Kewujudan media sosial membuka peluang untuk memungkinkan perkara ini berlaku. Dengan medium sembang sosial di Facebook, Yahoo Messanger, Twitter, dan sebagainya telah menjadikan perbualan ini lebih mudah. Tanpa disedari, perbualan-perbualan kita dan mesej-mesej peribadi boleh digodam dan diakses oleh musuh-musuh negara dan ancaman lain seumpamanya.
             Dalam Angkatan Tentera Malaysia(ATM) misalnya, perkara-perkara sebegini perlu diberi perhatian yang serius kerana apa sahaja pembongkaran atau pendedahan berkaitan ketenteraan yang dilakukan oleh anggotanya mungkin menjadi ancaman buat keselamatan negara. Penulisan yang boleh dianggap sulit untuk ATM perlu dielakkan. Sewajarnya ATM di bawah badan yang sewajarnya tampil dengan satu garis panduan yang khusus berkaitan perkara ini untuk menjadi panduang anggota dalam menggunakan laman sosial dan internet.
            Secara idealnya Internet adalah saluran yang boleh menyalurkan apa sahaja maklumat seperti maklumat teknikal, saintifik, politik, ekonomi dan gosip selagi tiada sekatan terhadap penyaluran itu termasuk maklumat yang boleh ditafsirkan sebagai ‘mengancam keselamatan negara’. Maklumat yang dikira sebagai membahayakan sesebuah rejim negara itu boleh dikenakan penapisan sama ada bertujuan untuk mengekalkan kuasa politik yang sedang memerintah atau sememangnya bertujuan menjauhi bahaya yang akan menjejaskan keharmonian rakyat negara berkenaan. Untuk tujuan inilah pentingnya perisikan internet bagi mengawal kebocoran maklumat. Di Malaysia, agen utama untuk mengawal kebocoran dan kandungan internet adalah terletak di bawah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia dan Maklumat(SKMM), di bawah Kementerian Kebudayaan, Komunikasi dan Maklumat.
            Pada bulan Jun lalu sahaja, sebanyak 51 buah laman web milik agensi kerajaan telah digodam menyebabkan keadaan menjadi agak huru-hara kerana gangguan tersebut melibatkan maklumat kerajaan. Bagaimanapun, kerisauan orang ramai sedikit lega apabila Ketua Pengawai Eksekutif Cybersecurity, Lt. Kol. (B) Datuk Husin Jazri menjelaskan semua maklumat berada dalam keadaan selamat dan laman-laman web itu mula beransur-ansur untuk beroperasi semula.
            Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, sehingga bulan Ogos 2011, sebanyak 10,406 insiden jenayah siber telah dikendalikan oleh Cybersecurity. Ujarnya, jumlah tersebut adalah kenaikan yang amat drastik iaitu sebanyak 137 peratus berbanding tempoh masa yang sama pada tahun 2010.
            Apakah isu penapisan Internet itu sebuah isu yang besar? Memang ia merupakan isu yang besar dan kontroversi. Dalam dunia yang serba moden rata-rata rakyat memerlukan maklumat untuk mereka membuat keputusan. Dalam dunia moden pula konsep demokrasi yang bererti rakyat harus diberi maklumat seimbang dari pelbagai sumber adalah penting. Dalam hal ini kebebasan media baik yang dicetak mahupun berbentuk elektronik adalah prasyarat bagi sesebuah masyarakat itu boleh maju atau tidak. Dalam erti kata keselamatan pula, demokrasi tidak membawa ancaman kepada keselamatan secara langsung, tetapi secara tidak langsung ketelusan dalam demokrasi inilah yang akan menjadi ancaman kepada keselamatan dari dalam dan luar Negara.
            Internet yang memungkinkan pencapaian maklumat tanpa terhad boleh juga membawa kemudaratan mengikut tafsiran beberapa regim pemerintah. Bagi kebanyakan negara-negara maju terdapat kurang penapisan di Internet jika adapun adalah dalam bidang ponorgrafi kanan-kanak atau lelaman yang mengapi-apikan kebencian terhadap agama, budaya dan bangsa. Ini boleh mencetuskan provokasi antara rakyat yang seterusnya membawa ancaman kepada keselamatan Negara. Melalui facebook dan twitter sebagai contoh, penyebaran ancaman-ancaman sebegini akan menjadi lebih senang dan cepat. Sesiapan sahaja boleh memainkan peranan negative dalam menyebarkannya.

             Di negara-negara maju itu sebarang usaha untuk mengenakan penapisan terhadap Internet akan disambut dengan protes lantang dari pelbagai pihak yang cintakan kebebasan laluan maklumat kerana usaha sedemikian ditafsirkan sebagai melanggar hak asasi dan menafikan kebebasan rakyat mereka menerima maklumat yang boleh meningkatkan kesedaran mereka akan perihal dunia. Tetapi terdapat beberapa negara sedang membangun tidak mengenakan sebarang bentuk penapisan dan terdapat juga negara-negara sedang membangun yang mengenakan beberapa bentuk penapisan ke atas Internet.
            Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Reporters Sans Frontieres terdapat 20 negara yang mana kerajaan mengawal sebahagian atau sepenuhnya capaian Internet terhadap rakyatnya seperti China, Iran, Korea Utara dan Vietnam. Internet yang kita sedia maklum mengandungi banyak maklumat yang boleh dijanakan sebagai pengetahuan. Dalam hal ini kita boleh sifatkan negara yang mengamalkan penapisan internet akan menyebabkan rakyat akan ketinggalan dan mundur. Dalam hal ini, kita perlu sekali lagi membezakan antara maklumat yang perlu dan juga ancaman kepada keselamatan Negara. Koordinasi yang mantap dan tenaga penapisan yang mencukupi perlu diwujudkan dari aspek pihak tentera dan juga dari pihak awam.
            China pula mempunyai banyak undang-undang berkaitan dengan Internet. China sebuah negara yang sedang membangun pesat dengan penduduk 1.4 bilion manusia melalui undang-undang menyatakan bahawa sebaran mesej yang ditafsirkan sebagai "haram", "apa sahaja yang melanggar perlembagaan yang menjejaskan martabat dan kepentingan China" akan dikenakan tindakan. Pada tahun 2000, sebanyak 1,000 jenayah Internet telah dilaporkan oleh pihak pemerintah China. Umum juga mengetahui China mempunyai kekuatan peperangan siber yang cukup tinggi jika dibandingkan dengan Negara-negara lain termasuk kuasa besar dunia Amierika Syarikat pun tidak mampu menandingi China dalam perang siber mereka.
            China bukan sahaja merupakan negara yang mempunyai jumlah tentera yang teramai yakni 2.3 juta orang malah di alam siber kekuatan ketenteraan China sering mendapat perhatian kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan Britain. Dalam tahun 2007,ketika serangan siber ke atas Australia dan New Zealand tercetus,China didakwa menjadi dalang serangan tersebut. Malah,dilaporkan China mempunyai bala tentera siber yang terdiri daripada Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) yang sering menceroboh rangkaian komputer di Amerika Syarikat,Kanada,Jerman dan Jepun bagi mengumpul maklumat dan mencuri data penting negara-negara berkenaan.
            Namun sehingga ke hari ini,tiada bukti kukuh atas dakwaan tersebut. Korea Utara yang menyertai China dan Rusia dalam senarai negara yang memiliki tentera siber yang besar didakwa telah bertahun-tahun memiliki sepasukan tentera yang dianggotai oleh kira-kira 100 penggodam yang kebanyakannya adalah graduan akademi tentera di Pyongyang yang bertanggungjawab mengumpul maklumat dan mengganggu jaringan komputer di Korea Selatan dan Amerika Syarikat.
            Malah sumber perisikan Korea Selatan pernah mendedahkan bahawa Korea Utara mempunyai 'Unit 121' iaitu satu organisasi ketenteraan yang dianggotai oleh 500-1000 penggodam mahir yang pernah menggodam jabatan pertahanan Korea Selatan dan Amerika Syarikat. Seperti dalam kes Rusia,segala dakwaan ke atas Korea Utara hanyalah hipotesis penganalisis.
            Menurut seorang penyelidik botnet, sebuah perisian yang dicipta untuk 'hidup' di rangkaian internet, berdasarkan analisis yang dibuat ke atas kod perisian berbahaya (malware) yang digunakan dalam serangan ke atas Amerika Syarikat dan Korea Selatan, tiada penunjuk yang membuktikan serangan tersebut dilakukan atau didalangi oleh Korea Utara. Jadi,apakah benar Rusia, China dan Korea Utara mampu melancarkan perang siber ke atas musuh mereka seperti yang dilaporkan oleh media barat atau ia sebahagian daripada propaganda politik Amerika Syarikat dalam meneruskan hegemoninya?
            Dari satu sudut, memang tidak mustahil negara seperti Rusia,China dan Korea Utara mampu melancarkan perang siber ke atas mana-mana negara yang dimusuhi mereka. Malah Amerika Syarikat juga mampu melakukannya kerana adalah mustahil sebuah negara maju seperti Amerika Syarikat yang memiliki teknologi dan pakar dalam teknologi maklumat tidak memiliki tentera sibernya sendiri. Dalam hal ini, di mana kedudukan kita dalam aspek pertahanan siber? 
            Terdapat beberapa negara seperti Indonesia, India, Thailand dan Filipina yang tidak mengenakan penapisan internet. Sehingga kini semua negara ini tidak mengenakan sebarang bentuk penapisan Internet. Dengan itu pengaliran bebas informasi melalui Internet wujud di negara-negara ini meskipun terjadi beberapa kes dramatik yang terjadi akibat adanya pengaliran bebas informasi ini. Sebagai contoh Presiden Suharto tumbang di Indonesia dan diikuti Presiden Estrada di Filipina semasa kehadiran IT. Meskipun jumlah pemilikan Internet di kedua-dua negara kecil berbanding negara-negara jiran mereka, penggunaan Internet atau teknologi penyebaran maklumat dalam mengubah corak landskap mereka tidak boleh dinafikan.
            Bagaimana pula dengan Malaysia? Malaysia adalah sebuah negara yang tidak mengenakan pennpisan internet. Akta Komunikasi dan Mutimedia 5 di mana pihak kerajaan memberi satu jaminan bahawa tiadanya penapisan di dalam perkembangan Internet. Sepotong ayat dalam Akta itu berbunyi "tiada apa-apa jua dalam Akta ini boleh ditafsirkan sebagai membenarkan penapisan Internet" bagaikan memberi ruang lingkup kreativiti berkembang di dalam perkembangan Internet.
            Peruntukan ini sepatutnya disambut dengan riang gembira kerana kegiatan kreativiti tidak disekat di dalam Internet. Namun persoalannya, adakah betul undang-undang ketiadaan penapisan internet benar-benar diikuti oleh pihak pemerintah pada hari ini? Walaupun telah termaktub dalam perlembagaan tentang ketiadaan penapisan internet, namun kerajaan tidak mempedulikan undang-undang tersebut kerana banyak tindakan kerajaan pada hari ini yang meneyekat kebebasan penggunaan internet. Paling terbaru, adalah kes yang melibatkan Raja Petra Raja Kamarudin dimana blognya telah disekat akses oleh orang ramai.


            Namun begitu ditarikbalik selepas itu. Ketiadaan penapisan internet yang bertujuan untuk membebaskan masyarakat menggunakan internet juga tidak bermakna apa-apa seandainya terdapat pelbagai undang-undang lain yang boleh menyekat kebebasan menggunakan internet. 
            Kesimpulannya, ketiadaan penapisan internet sememangnya berkait rapat dengan proses demokrasi dan ia adalah satu elemen penting dalam membina demokrasi di Malaysia. Namun, perlu diingat bahawa dalam menjamin keselamatan dan keamanan negara, medium kawalan dan pencegahan tertentu adalah sangat vital dalam aspek ini. Jangan kelak kita sudah terhantuk, baru nak terngadah.  

Sumber utama penulisan dirujuk dari laman http://blissourteam.blogspot.com/ , yang kemudiannya disesuaikan dengan aspek keselamatan negara.