Selasa, 21 Jun 2011

MENGHARGAI PENGORBANAN PAHLAWAN

SETIAP bangsa yang mulia akan menghargai jasa pahlawannya walaupun tanpa dipinta. Dalam kita menghirup udara kebebasan, janganlah kita lupa bahawa nikmat yang diperoleh hari ini adalah hasil mereka yang telah berkorban nyawa, darah, keringat dan airmata demi mempertahankan kedaulatan dan keamanan bumi yang merdeka ini.
Tanyalah diri sendiri, siapakah yang boleh diharapkan untuk memperjuangkan dan meneruskan pengorbanan para pahlawan setelah mereka tiada?
Siapa lagi jika bukan kita yang masih bernafas dalam suasana aman damai dan masih berupaya untuk memperingati jasa pengorbanan mereka.
Semangat kental, keberanian, kesetiaan dan pengorbanan mereka yang di gelar pahlawan tiada bandingannya.
Ia perlu dijadikan contoh dan panduan kepada kita dalam menghadapi cabaran-cabaran baru di masa akan datang. Apa yang dilakukan oleh mereka penuh dengan keikhlasan tanpa meminta sebarang habuan. Sama ada dalam bentuk wang ringgit mahupun harta kekayaan.
Mungkin ramai yang sudah ketahui bahawa etos kepahlawanan, etika perwira dan nilai-nilai ketenteraan sudah wujud dari dahulu lagi. Sejak manusia tahu mempertahankan diri sendiri, keluarga, harta benda dan kampung halaman mereka.
Walaupun manusia telah mengharungi berbagai peperangan dan konflik sejak ribuan tahun dahulu, namun pada dasarnya kualiti asasnya tidak berubah.
Etos kepahlawanan masih menegakkan sifat mulia di kalangan anggota tentera. Ia melarang mereka melakukan sesuatu yang bercanggah dan melanggar batasan yang ditetapkan.

dipetik dari Berita Harian.