Khamis, 14 April 2011

UCAPAN PERPISAHAN KOMANDAN UPNM

Satu hikayat pabila terciptanya cerita. Ini cerita teks perpisahan yang direka sempena ucapan seorang Yang Dipertua. Gerangan orang yang hendak membaca bukanlah aku, tetapi si dia amatlah hebat berkata-kata orangnya. ini laa yang buat aku pening kepala. Cuba la tengok ucapan yang tak seberapa ni, hanya sekadar menokok idea dari kata-kata pemikir lain sedikit mungkin.

UCAPAN YANG DIPERTUA WISMA PEGAWAI KADET SEMPENA MAJLIS PERPISAHAN KOMANDAN

Yang Berbahagia,

Leftenan Jeneral Dato’ Wira Allatif Bin Mohd Noor,

Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia,

Yang Berbahagia,

Prof Raduan Bin Che Ros,

Timbalan Naib Canselor,

Hal Ehwal Akademik Dan Pengantarabangsaan,

Yang Berbahagia

Prof Wan Mahzom Binti Ahmad Shah,

Timbalan Naib Canselor,

Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni,

Yang Diraikan,

Dato’ Amir Bin Hashim Tudm,

Mantan Komandan Akademi Latihan Ketenteraan,

Pegawai-pegawai kanan universiti,

Dekan-dekan fakulti,

Pensyarah-pensyarah,

Jurulatih-jurulatih,

Serta warga dewan sekalian.

Assalamualaikum wbt, salam sejahtera dan salam 1malaysia buat anda semua.

Yang berbahagia dato’ dan hadirin sekalian,

Alhamdulillah,

Bersyukur kita kehadrat ilahi kerana dengan limpah kurnianya dapat kita sama-sama berkumpul dalam majlis Perpisahan Komandan Akademi Latihan Ketenteraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pada malam yang penuh bermakna dan penuh erti ini.

Dalam salah satu tulisan karya agung Johann Paul Friedrich Richter, iaitu seorang penulis masyhur dari Jerman ada menyatakan bahawa, ”Man feelings are always purest and most glowing in the hour of meeting and farewell”. Setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan. Yang pastinya setiap perpisahan akan meninggalkan seribu satu pengalaman yang tidak akan dilupakan. Hari ini, kita semua akan merasa kehilangan kerana kita bakal berpisah dengan mantan komandan ALK yang amat kita hormati dan kita sayangi. Bagi kami semua pegawai kadet UPNM, yang berbahagia Dato’ tidak ubah seperti ayahanda kami semua. Kata-kata dan tunjuk ajar yang berbahagia Dato’ paling membekas dalam diri kami semua terutama kata perangsang semangat dan usikan-usikan dari Yang Berbahagia Dato’ buat kami.

Saya masih ingat. Usikan Dato’ kepada kami semua tentang ibu bapa kami yang tidak sayang dan tidak bertanggungjawab terhadap kami kerana menghantar kami untuk menjadi pegawai kadet di universiti tercinta ini. Kami ditinggalkan sehelai sepinggan di sini, dan universiti inilah yang menjaga segala kebajikan kami dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Jika kami fikirkan, usikan Yang Berbahagia Dato’ ada betulnya. Maka sepanjang tempoh kami berada di university ini jugalah, kami merasa cukup bertuah kerana berada di bawah naungan seorang yang cukup tegas, penyayang, prihatin dan mengambil berat terhadap kebajikan kami, pada masa yang sama memiliki ‘homurous sense’. Sesungguhnya, seorang pemimpin yang berkeperibadian tinggi dan berkarisma seperti Yang Berbahagia Dato’ sukar untuk dicari ganti. Bak kata pepatah Melayu, patah kan tumbuh, hilang kan berganti, namun yang hilang akan tetap kekal abadi.

Masa begitu pantas berlalu. Sepanjang tempoh empat tahun Akademi Latihan Ketenteraan ini diterajui oleh Yang Berbahagia Dato’, pelbagai pembaharuan di universiti ini yang kita semua alami. Tempoh masa penjenamaan semula Akademi Tentera Malaysia kepada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia adalah tempoh yang agak sukar, memandangkan kita masih tercari-cari identity Leaders of Character bakal pemimpin masa hadapan yang kita impi-impikan demi kemaslahatan Negara tercinta ini. Bagi saya, Yang Berbahagia Dato’ telah berjaya untuk membawa kami ke pentas yang tertinggi sehingga university ini, walaupun usianya paling muda di kalangan semua IPTA tanah air, namun kita semua tetap digeruni dalam apa sahaja acara dan majlis yang kita semua sertai.

Yang Berbahagia Dato’ dan para hadirin sekalian,

Setiap bangsa yang mulia akan menghargai jasa pahlawannya walaupun tanpa dipinta. Mungkin ramai yang sudah ketahui bahawa etos kepahlawanan, etika keperwiraan dan nilai-nilai ketenteraan sudah wujud dari dahulu lagi. Sejak manusia tahu mempertahankan diri sendiri, keluarga, harta benda dan kampung halaman mereka. Etos kepahlawanan masih menegakkan sifat mulia di kalangan anggota tentera iaitu untuk menghargai segala jasa dan pengorbanan pemimpin mereka . Di kesempatan ini, saya mewakili kesemua pegawai kadet UPNM ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih dan ucapan penghargaan yang tidak terhingga kepada yang berbahagia Dato’ di atas segala pengorbanan dan jasa Yang Berbahagia Dato’ dalam memastikan kami semua menjadi seorang pemimpin tentera yang dihormati dan disegani di mata semua. Sesungguhnya jasa yang berbahagia Dato’ hanya Tuhan sahaja yang dapat membalasnya.

Kami berdoa, semoga Allah S.W.T akan melimpahkan rahmat dan peliharaan-Nya kepada yang berbahagia Dato’ dan keluarga, dipanjangkan usia, diberikan kesihatan tubuh badan dan ditambahkan ilmu pengetahuan bagi manfaat agama, bangsa dan Negara seterusnya yang berbahagia Dato’ terus berjaya di unit baru kelak.

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, izinkan saya menghadiahkan pantun khusus untuk yang berbahagia Dato’

Kalau ada pauh didaik

Bawa sebiji ke tanah seberang

Kalau ada budi yang baik

Sampai mati dikenang orang.

Sekian, Wabillah hitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan